Sunday, 30 December 2012

TEORI-TEORI PEMBELAJARAN

TEORI PEMBELAJARAN

Definisi teori pembelajaran ialah hipotesis-hipotesis oleh ahli-ahli Psikologi tentang maksud pembelajaran, bagaimana ia berlaku dan faktor-faktor yang mempengaruhi proses pembelajaran.

Fungsi-fungsi teori pembelajaran:

1) Mendorong kaji selidik dan pemikiran saintifik.
- Pendekatan kepada satu bidang pengetahuan, memberi panduan kepada:
• apa yang harus dikaji
• pemboleh ubah yang terlibat
• teknik kajian
• cara menghuraikan hasil kajian.
2) Menghuraikan perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum-hukum pembelajaran dengan
seberapa mudah dan ringkas.
3) Menghurai dan memberi kesimpulan tentang erti pembelajaran, bagaimana ia berlaku dan
faktor-faktor yang mempengaruhinya.

i. Teori Pembelajaran Behaviorisme

Satu daripada teori pembelajaran yang banyak mempengaruhi pendidikan adalah teori Behaviorisme. Antara ahli psikologi yang menjadi pendokong Behaviorisme adalah B. F. Skinner, John B. Watson dan Edward Thorndike. Mereka amat berminat dengan tingkah laku yang boleh diperhatikan. Penyelidikan mereka tertumpu kepada tingkah laku ini. Mereka tidak mementingkan struktur mental yang melibatkan pemikiran, idea, impian dan imej mental. Sebaliknya, tindakan dan pola perlakuan individu diberi penekanan. Menurut mereka, jika kita ingin sesuatu perlakuan itu dilakukan lagi atau diulangi, maka kita hanya perlu mengukuhkannya dengan memberi ganjaran, atau jika kita hendak menghentikan atau mengurangkan sesuatu perlakuan, maka kita menghukum atau menghentikan ganjarannya.
          Implikasi Behaviorisme dalam pendidikan amat mendalam kesannya. Menurut Gardner (2000), dalam merancang pengajaran sesuatu konsep atau kemahiran, seorang guru akan menulis objektif untuk perlakuan yang boleh diukur atau diperhatikan pada akhir pengajaran. Guru tidak perlu mengambil tahu apa yang muridnya telah tahu atau mengambil kira apakah perubahan yang mungkin berlaku dalam minda muridnya semasa pengajaran. Guru hanya mengatur strategi dengan memberi ganjaran kepada murid yang menunjukkan perlakuan yang dikehendaki dengan menekankan kepada latih tubi. Guru lebih menekankan kepada apa yang murid boleh lakukan, bukannya kefahaman murid.

ii. Teori Pembelajaran Kognitivisme

Satu lagi pandangan tentang cara manusia belajar dan memperoleh pengetahuan ialah secara Kognitivisme. Penggerak utama Kognitivisme adalah Jean Piaget. Idea utama Kognitivisme adalah perwakilan mental. Semua idea dan imej dalam minda individu diwakili melalui struktur mental yang dikenali sebagai skema. Skema akan menentukan bagaimana data dan maklumat yang diterima akan difahami oleh minda manusia. Jika maklumat ini secocok dengan skema yang ada, maka murid akan menyerap maklumat tersebut ke dalam skema ini. Sekiranya tidak secocok dengan skema yang ada, maklumat ini mungkin ditolak atau diubah suai atau skema akan diubah suai.

iii. Teori Pembelajaran Konstruktivisme

Bertitik tolak daripada pandangan Kognitivisme ini maka lahirlah satu pandangan tentang cara manusia belajar iaitu secara Konstruktivisme. Mengikut Konstruktivisme, pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir. Individu ini tidak menyerap secara pasif sebarang pengetahuan yang disampaikan oleh gurunya. Murid akan menyesuaikan sebarang maklumat baru dengan pengetahuan sedia ada mereka untuk membentuk pengetahuan baru dalam mindanya dengan bantuan interaksi sosial bersama rakan dan gurunya.

APAKAH KONSTRUKTIVISME ?

·         “Konstruktivisme adalah satu pendekatan pengajaran berdasarkan kepada penyelidikan tentang bagaimana manusia belajar. Kebanyakan penyelidik berpendapat setiap individu membina pengetahuan dan bukannya hanya menerima pengetahuan daripada orang lain”. (McBrien & Brandt, 1997).

·         “Murid membina pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasikannya kepada situasi baru dan mengintegrasikan pengetahuan baru yang diperoleh dengan binaan intelektual yang sedia wujud”. (Briner, M., 1999).

·         “Teori konstruktivisme menyatakan bahawa murid membina makna tentang dunia dengan mensintesis pengalaman baru kepada apa yang mereka telah fahami sebelum ini. Mereka membentuk peraturan melalui refleksi tentang interaksi mereka dengan objek dan idea. Apabila mereka bertemu dengan objek, idea atau perkaitan yang tidak bermakna kepada mereka, maka mereka akan sama ada menginterpretasi apa yang mereka lihat supaya secocok dengan peraturan yang mereka telah bentuk atau mereka akan menyesuaikan peraturan mereka agar dapat menerangkan maklumat baru ini dengan lebih baik”. (Brooks & Brooks, 1993).

·         “Dalam teori konstruktivisme, penekanan diberikan kepada murid lebih daripada guru. Ini adalah kerana muridlah yang berinteraksi dengan bahan dan peristiwa dan memperoleh kefahaman tentang bahan dan peristiwa tersebut. Justeru, murid membina sendiri konsep dan membuat penyelesaian kepada masalah. Autonomi dan inisiatif murid hendaklah diterima dan digalakkan”. ( Sushkin, N., 1999 ).

·         “konstruktivisme adalah tidak lebih daripada satu komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuan sendiri. Ini bermakna bahawa sesuatu pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang individu adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh individu tersebut, dan bukan sesuatu maklumat atau pengajaran yang diterima secara pasif daripada luar. Pengetahuan tidak boleh dipindahkan daripada pemikiran seseorang individu kepada pemikiran individu yang lain. Sebaliknya, setiap insan membentuk pengetahuan sendiri dengan menggunakan pengalamannya secara terpilih”. ( Nik Azis Nik Pa, 1999 ).

Berdasarkan kepada pandangan-pandangan di atas maka pengertian pembelajaran secara konstruktivisme bolehlah dirumuskan sebagai yang berikut:
·         Konstruktivisme adalah satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Dalam proses ini, murid akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru.

Ciri-ciri Pembelajaran Secara Konstruktivisme:

·     Menggalakkan soalan/idea yang dimulakan oleh murid dan menggunakannya sebagai panduan merancang pengajaran.
·         Menggalakkan murid bertanya dan berdialog dengan murid dan guru.
·         Mengambil kira dapatan kajian tentang bagaimana murid belajar sesuatu idea.
·         Mengambil kira kepercayaan dan sikap yang dibawa oleh murid.
·         Menganggap pembelajaran sebagai satu proses yang sama penting dengan hasil pembelajaran.
·         Menyokong pembelajaran secara koperatif.
·         Menggalakkan proses inkuiri murid melalui kajian dan eksperimen.
·         Menggalakkan dan menerima daya usaha dan autonomi murid.
·         Memberi peluang kepada murid untuk membina pengetahuan baru dengan memahaminya melalui penglibatan murid dengan situasi dunia yang sebenar.

Kelebihan Pembelajaran secara Konstruktivisme

·         Berfikir: Dalam proses membina pengetahuan baru, murid akan berfikir untuk menyelesaikan masalah, menjana idea, dan membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran. Sebagai contoh, ini boleh dicapai melalui aktiviti penyelidikan dan penyiasatan seperti mengenal pasti masalah, mengumpul maklumat, memproses data, membuat interpretasi dan membuat kesimpulan.

·         Faham: Kefahaman murid tentang sesuatu konsep dan idea lebih jelas apabila mereka terlibat secara langsung dalam pembinaan pengetahuan baru. Seorang murid yang memahami apa yang dipelajari akan dapat mengaplikasikan pengetahuan yang baru dalam kehidupan dan situasi baru.

·         Ingat: Setelah memahami sesuatu konsep, murid akan dapat mengingati lebih lama konsep tersebut kerana mereka terlibat secara aktif dalam mengaitkan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru.

·         Yakin: Murid yang belajar secara konstruktivisme diberi peluang untuk membina sendiri kefahaman mereka tentang sesuatu. Ini menjadikan mereka lebih yakin kepada diri sendiri dan berani menghadapi dan menyelesaikan masalah dalam situasi baru.

·         Kemahiran Sosial: Murid yang berkemahiran sosial boleh bekerjasama dengan orang lain dalam menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Kemahiran sosial ini diperoleh apabila murid berinteraksi dengan rakan-rakan dan guru dalam membina pengetahuan mereka.

·        Seronok: Dalam pembelajaran secara konstruktivisme, murid membina sendiri pengetahuan, konsep dan idea secara aktif. Ini menjadikan mereka lebih faham, lebih yakin dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat walaupun menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran.

Peranan Murid dan Guru serta Cabaran dalam Kelas Konstruktivis

Apabila pembelajaran secara konstruktivisme diamalkan dalam kelas, peranan murid dan guru akan berubah. Terdapat beberapa perubahan dalam bilik darjah khususnya tentang peranan murid dan guru serta cabarancabaran yang mungkin dihadapi oleh mereka dalam pembelajaran secara konstruktivisme.

i. Peranan Murid:

• Murid mengambil inisiatif mengemukakan soalan-soalan dan isu, kemudian secara individu mereka membuat analisis dan menjawab soalan-soalan itu. Mereka bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri dan boleh menyelesaikan masalah.
• Murid selalu berbincang dengan guru dan sesama mereka. Perbincangan itu akan membantu murid mengubah atau mengukuhkan idea-idea mereka. Jika murid itu berpeluang mengemukakan pendapat mereka dan mendengar idea orang lain, murid tersebut dapat membina asas pengetahuan yang mereka faham.
• Murid mencabar hipotesis yang telah dibuat dan digalakkan berbincang untuk membuat ramalan. Murid diberi banyak ruang dan peluang untuk menguji hipotesis mereka terutamanya melalui perbincangan dalam kumpulan.
• Murid menggunakan data dan bahan-bahan fizikal, manipulatif atau interaktif untuk menolong mereka menjana idea dan pengetahuan.

ii. Peranan Guru

• Menggalakkan murid menerangkan idea mereka serta menghargai pandangan mereka.
• Menstruktur pelajaran untuk mencabar persepsi murid.
• Membantu murid menyedari kerelevanan kurikulum kepada kehidupan mereka.
• Mentaksir pembelajaran melalui aktiviti harian di kelas, bukan hanya dalam bentuk ujian bertulis.
• Menggalakkan murid membuat tugasan yang berbentuk penyelesaian, menganalisis, meramal, meneroka dan membuat hipotesis.
• Menggalakkan murid menerangkan lebih lanjut jawapan mereka.
• Menggalakkan penemuan oleh murid melalui pertanyaan soalan bercapah dan menggalakkan murid menyoal murid yang lain.
• Memberi masa secukupnya kepada murid untuk menjawab soalan setelah soalan dikemukakan.
• Memberi masa secukupnya kepada murid untuk membuat perkaitan antara idea-idea yang telah dijanakan.
• Menggalakkan pembelajaran koperatif dalam menjalankan tugasan tertentu.
• Membimbing murid mendapatkan jawapan yang tepat.

iii. Cabaran Guru Konstruktivis

• Guru merasa mereka tidak mengajar .
• Amalan yang dimajukan dalam pembelajaran secara konstruktivisme dianggap tidak realistik.
• Guru merasa bahawa penerangan mereka tidak penting lagi .
• Kawalan kelas agak merosot.
• Guru yang sedang menukar cara mengajar kepada pendekatan konstruktivisme memerlukan sokongan profesionalisme serta pengukuhan keyakinan daripada pihak sekolah.

Walaupun terdapat beberapa kesulitan berkaitan dengan pelaksanaan pembelajaran secara konstruktivisme, kesulitan itu harus dipandang sebagai cabaran yang perlu diatasi oleh guru.











No comments:

Post a Comment