Friday, 28 December 2012

PELAJAR ABAD KE-21


PELAJAR ABAD KE-21

Metiri Group (2003), menjelaskan tentang kemahiran abad ke-21 sebagai kemahiran yang sangat penting diterapkan dalam diri pelajar di era ekonomi digital semata-mata untuk memenuhi tuntutan perubahan pesat yang berlaku.  Ia juga menyatakan bahawa kemahiran ini sangat penting bagi melahirkan pelajar dan pekerja yang memenuhi kehendak industri. Anjakan paradigma perlu segera dilaksanakan dalam sistem pendidikan bagi memastikan kemahiran tersebut dikuasai oleh pendidik agar ia boleh disampaikan dengan lebih menyeluruh dan berterusan kepada pelajar.

Oleh yang demikian, sistem pendidikan perlu memahami dan menghayati kemahiran abad ke-21 untuk diaplikasikan ke dalam konteks akademik secara menyeluruh. Partnership for 21st Century Skills (2007) menyatakan antara ciri-ciri pelajar abad ke-21 ialah:
a. Kemahiran berfikiran kritikal
b. Kemahiran menyelesaikan masalah
c. Kemahiran berkomunikasi
d. Kemahiran berkolaborasi
e. Kemahiran kehidupan dan kerjaya
f. Kemahiran belajar dan inovasi
g. Kemahiran dalam media, teknologi maklumat dan komunikasi
h. Kemahiran menguasai subjek teras di sekolah

Menjelang abad ke 21 pelajar perlu mendapat segala kemudahan yang disediakan untuk membantu mereka dalam proses pembelajaran. Komputer sudah pasti digunakan secara meluas. Sumber pengetahuan utama abad ke 21 kelak merupakan sumber yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Dengan itu kemudahan seperti komputer, multimedia, cakera padat dan lebuh raya maklumat seperti 'internet' perlu disediakan untuk digunakan oleh semua pelajar. Adalah diharapkan pengajaran dan pembelajaran pada abad ke 21 dibantu sepenuhnya oleh komputer. Ini bukan bertujuan menggantikan guru dengan penggunaan teknologi tetapi untuk menimbulkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menyeronokkan, berkesan dan lebih bermakna kepada pelajar.

Pelajar dalam abad ke 21 pasti berada dalam gelombang teknologi maklumat, untuk itu setiap pelajar perlu celik komputer. Ini kerana komputer berupaya meningkatkan mutu pembelajaran. Sudah sampai ketikanya komputer menjadi alat standard di semua sekolah di peringkat rendah, menengah dan lepasan menengah.

Pembangunan abad ke-21 dalam kalangan pelajar memerlukan perubahan pada pendekatan pendidikan. Perubahan ini boleh berlaku di peringkat sekolah atau bilik darjah.  Walau bagaimanapun, perubahan di peringkat sekolah atau bilik darjah memerlukan kesedaran dan kemahiran di kalangan guru dan pentadbir. Program pengurusan perubahan dan kajian semula program latihan guru adalah perkara-perkara asas yang perlu disediakan ke arah pendidikan, persekolahan dan kemahiran abad ke-21.

Seharusnya pelajar generasi ke-21 telah menjadi lebih profesional dan amat memahami tugasan mereka sebagai pelajar. Sementara kaedah pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada guru sebagai punca maklumat utama. Seharusnya mereka mesti mampu mencari maklumat daripada pelbagai sumber. Sesetengah sekolah mampu melaksanakannya tetapi terdapat sesetengah sekolah masih bergelut dengan soal asas pembelajaran, iaitu kemampuan murid untuk membaca, menulis dan mengira (3M) masih pada peringkat yang mendukacitakan. Soalnya bagaimana isu sebegini masih wujud sedangkan pengisian kemerdekaan telah berlaku selama 53 tahun. Adakah isu kaedah pengajaran guru atau isu kesediaan murid untuk belajar hanya bergantung semata-mata kepada persekitaran.

No comments:

Post a Comment