Thursday, 27 December 2012

KEMAHIRAN ABAD KE-21


KEMAHIRAN ABAD KE-21

Perubahan teknologi berlaku hampir setiap hari. Untuk berdaya saing dalam era digital, tenaga kerja negara seharusnya fasih dalam bahasa dan mahir mengendalikan teknologi. Di sinilah tanggungjawab sistem pendidikan dalam menyediakan murid menghadapi cabaran global abad ke-21. Kemahiran abad ke-21 bukanlah sesuatu yang asing dalam sistem pendidikan negara tetapi merupakan perluasan kemahiran tradisional yang mengadaptasikan teknologi dan persekitaran kerja baru. Hal ini adalah seperti yang dikatakan oleh Douglas Ruskoff, Playing the Future (1996) dalam NCREL (2002) iaitu; ” Students are natives to cyber space, where the rest of us are immigrants”. Kanak-kanak pada hari ini mempunyai pandangan terhadap dunia yang berbeza dengan orang dewasa.

Hal ini kerana mereka membesar dengan akses terhadap maklumat dan idea tanpa batasan yang diperolehi daripada media interaktif. Akses murid terhadap peralatan abad ke-21, dalam laporan Prensky (2001) menyatakan bahawa masa harian kanak-kanak diisi dengan menggunakan komputer, permainan video, pemain muzik digital, telefon dan berbagai-bagai lagi peralatan dalam dunia digital. Menurut Mehmet (2009), Pedro (2006) menyatakan bahawa kesemua teknologi ini menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka dan seterusnya melahirkan terma New Millennium Learners.

Abad ke-21 merupakan era di mana sektor pekerjaan memerlukan pekerja berkemahiran kebolehpasaran yang meliputi kemahiran menyelesaikan masalah, berfikiran kritikal, bekerjasama dalam pasukan dan kesediaan mempelajari sesuatu yang baru (National Instituteof Literacy and the Small Business Aministration 1999).

Pada abad ke-21 ini, pelajar tidak harus dinilai hanya dengan kebolehan menjawab soalan ujian tetapi juga harus menilai sejauh mana mereka menguasai kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran menyelesaikan masalah, keusahawanan dan kreativiti. Menyedari kepentingan kemahiran abad ke-21, pengintegrasiannya dalam pendidikan telah pun dilaksanakan di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat. Menurut NCREL: enGauge21st century skills (2002), kemahiran abad ke-21 mampu menyediakan generasi muda untuk menghadapi kemungkinan–kemungkinan yang bakal dihadapi dalam masyarakat industri, ekonomi global, kebanjiran teknologi tinggi dan canggih yang sentiasa berubah serta penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan maklumat sejagat. Perubahan-perubahan yang ketara dan pantas dalam pelbagai bidang adalah cabaran besar yang dihadapi generasi kini dan dijangka lebih hebat dan kritikal dengan sumbangan teknologi baru serta perkomputeran.

Kemahiran abad ke-21 ini adalah kemahiran-kemahiran yang meliputi kemahiran berkomunikasi, kemahiran 3M (membaca,mengira dan menulis), kemahiran sains dan teknologi, kemahiran interpersonal dan intrapersonal dan sebagainya.

Pada abad ke-21 ini, perubahan perlu dilakukan kerana pada abad ini, sumber manusia bukan sahaja perlu berilmu pengetahuan tetapi juga mahir dalam pelbagai bidang kemahiran seperti dalam aspek literasi era digital dan teknologi maklumat, aspek berkomunikasi, aspek  pemikiran kreatif dan kritis, aspek fizikal dan tidak dilupakan aspek yang paling penting adalah aspek kerohanian dan nilai murni.

Perubahan diperlukan untuk memenuhi keperluan masyarakat sekarang yang banyak dipengaruhi oleh dunia yang dicorakkan oleh pembangunan teknologi. Pemikiran ini merujuk pada pandangan bahawa pembelajaran patut memanfaatkan teknologi untuk pedagogi terkini yang lebih prihatin kepada ciri-ciri pelajar sekarang. Penekanan perubahan pendidikan yang dimaksudkan mengaitkan kemahiran abad ke-21 dengan peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kebanyakan kemahiran abad ke-21 adalah berdasarkan kepada pendedahan terhadap ICT. Jika dahulu, literasi cuma merangkumi membaca, menulis, dan mengira, literasi abad ke-21 melibatkan literasi digital. Guru memainkan peranan utama dalam membimbing pelajar untuk melayari internet, mencari laman sesawang, memilih perisian yang sesuai dan mengumpul serta mengulas maklumat. Dengan bimbingan guru juga kesedaran global pada era digital sepatutnya mudah dicapai dan seharusnya meningkat. Pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) adalah satu pendekatan P&P yang boleh memupuk kemahiran tersebut. Topik-topik tertentu dalam mata pelajaran Sejarah dan Sains contohnya boleh diberi sebagai tugasan projek di mana pelajar perlu mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.

Tugasan menerusi pembelajaran berasaskan projek juga menggalakkan komunikasi interaktif. Pelajar berbincang dan berkongsi maklumat mengenai projek bersama rakan dan guru secara bersemuka atau atas talian menerusi pelbagai alat media sosial seperti e-mel, Facebook atau blog.

Sumber terbaik bagi membina kemahiran komunikasi interaktif seperti kemahiran sosial dan peribadi, semangat berpasukan dan kolaborasi adalah menerusi lima bentuk teknologi era digital iaitu mobility (bergerak) seperti telefon pintar, connectivity (penyambungan) seperti WiFi, rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter, enjin carian seperti Google dan Yahoo, dan portal perkongsian maklumat seperti Wikipedia dan YouTube.

Jelas sekali bahawa pembangunan abad ke-21 dalam kalangan pelajar memerlukan perubahan pada pendekatan pendidikan. Perubahan ini boleh berlaku di peringkat sekolah atau bilik darjah.  Walau bagaimanapun, perubahan di peringkat sekolah atau bilik darjah memerlukan kesedaran dan kemahiran di kalangan guru dan pentadbir. Program pengurusan perubahan dan kajian semula program latihan guru adalah perkara-perkara asas yang perlu disediakan ke arah pendidikan, persekolahan dan kemahiran abad ke-21.

Bagi mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad-21, seseorang guru atau pendidik itu perlu komited dalam :

1) Menguasai Pelbagai Bidang.
·         Penting bagi seseorang pendidik untuk sentiasa bersedia menguasai ilmu bagi menjadikan diri mereka relevan dan sesuai dengan perubahan yang berlaku. Ini kerana guru yang mempunyai kombinasi beberapa ilmu pelajaran lebih baik berbanding dengan guru yang cuma menjurus kepada satu bidang sahaja. Dalam konteks pengajaran Pendidikan Islam, seseorang guru itu perlu ‘berani’ mencuba sesuatu yang baru seperti menggabungkan pengetahuan Sains (Komputer) dengan Pendidikan Islam (Pendekatan Bersepadu). Bagi memastikan seseorang pendidik (guru) itu mampu menguasai pelbagai bidang, mereka (guru) hendaklah mengamalkan pembelajaran berterusan supaya guru sentiasa mengikuti perubahan yang berlaku dan menjadikan diri sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran.

2) Mengikuti Perkembangan tentang Dasar dan Isu Pendidikan.
·         Seseorang guru yang berpengetahuan akan sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku khususnya perkembangan tentang dasar serta isu-isu berkaitan dengan pendidikan yang akan memberi impak kepada profesion perguruan serta perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran. Dasar-dasar seperti dasar sains dan teknologi (sekolah berasaskan ICT) perlu diteliti dan difahami bagi membentuk guru yang berwibawa sekali gus membantu kepada melahirkan generasi yang berkualiti dan berkemahiran.

3) Mahir Dalam Pedagogi (Pengajaran&Pembelajaran).
·         Kekuatan profesion perguruan dalam memastikan hasrat melahirkan generasi berkemahiran abad-21 juga bergantung kepada kecekapan seseorang guru itu menguasai pengetahuan pedagogi. Pengetahuan pedagogi ini bukanlah berdasarkan kepada pengalaman atau pengetahuan ‘lapuk’ tradisional yang mana sistem P&P diamalkan terlalu bergantung kepada guru (teachers-centred).
·         Bagi melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran abad-21 ini, seseorang guru itu ‘wajib’ mencuba untuk mangadaptasikan pedagogi inovasi teknologi di dalam P&P contohnya pembelajaran berbantukan komputer. Ini kerana pengetahuan dan kebolehan guru mengadaptasikan kaedah P&P yang inovatif akan memberikan kesan positif kepada perkembangan dan pencapaian pelajar.

4) Menggunakan Teknologi Terkini.
·         Seseorang guru itu seharusnya mengorak langkah dan mengambil peluang untuk melengkapkan diri dengan ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat dalam pelbagai bidang. Penggunaan teknologi itu bukan sahaja dijadikan sebagai satu mekanisme di dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi juga bagi menyelesaikan urusan harian.

5) Menerapkan Nilai-nilai Murni (Akhlak).
·         Beretika merupakan satu elemen ini sangat penting dalam usaha pembudayaan masyarakat yang dapat mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian negara. Di samping pendedahan kepada teknologi, seseorang guru itu juga harus menitikberatkan perlakuan baik, peradaban dan tatasusila di dalam hubungannya sesame rakan sekerja.

No comments:

Post a Comment