Thursday, 27 December 2012

PENDIDIKAN ABAD KE-21


PENDIDIKAN ABAD KE-21

Apakah yang dimaksudkan dengan Abad Ke-21? Abad ke-21 ialah abad kini dalam kalendar-kalendar yang berdasarkan Kalendar Gregory, Tempohnya adalah dari 2001 hingga 2100 dan tempoh milenium ketiga adalah dari 2001 sehingga 3000. Ini disebabkan pengiraan abad pertama bermula dengan tahun 1. Biasanya, penggunaan umum mengganggap bahawa abad ke-21 berlangsung dari 2000 hingga 2099 dan milenium ketiga dari 2000 sehingga 2999.

Abad ke-21 membawa masyarakat dunia ke satu lagi fasa penganjakan paradigma kehidupan. Ini meliputi penganjakan daripada masyarakat perindustrian kepada masyarakat berinformasi; penggunaan teknologi manusia kepada penciptaan teknologi tinggi; pemusatan kuasa kepada pengagihan kuasa; konsep hierarki kepada konsep jaringan; ekonomi tempatan kepada ekonomi antarabangsa; dan perancangan  jangka pendek kepada perancangan jangka panjang. (Mumtaz Begam dan rakan-rakan, 2002).

Razali Ismail (2000:2), mengatakan abad Ke-21 sering dikaitkan dengan era Teknologi Maklumat (IT). Perkembangan terkini dalamopen sky technologymembawa implikasi kepada kehidupan manusia sejagat. Dunia yang luas pada hakikatnya telah dikecilkan dengan teknologi komunikasi yang canggih dan pantas.

Pendidikan abad ke-21 adalah pendidikan yang melahirkan generasi yang berilmu untuk berfikir, bertindak dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop yang global dan teknologi yang terkini, serta berupaya menangani gelombang perkembangan dan perubahan masa kini. Ia juga mengupayakan seseorang dengan sikap, kemahiran dan ilmu untuk melakukan  perkara-perkara yang perlu dan patut dilakukan dalam konteks persekitaran yang sentiasa berubah.

Finland merupakan sebuah negara yang menyediakan sistem pendidikan yang terbaik di dunia. Manakala di peringkat Asia Tenggara, Singapura merupakan negara yang mempunyai sistem pendidikan yang terbaik manakala Malaysia menduduki tangga ke 21 dalam pendidikan. Pada awal abad ke-21, beberapa perubahan dan perkembangan dalam sistem pendidikan Malaysia telah berlaku disebabkan oleh cabaran yang dihadapi akibat kesan globalisasi, liberalisasi, dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi.

Perkembangan yang pesat dalam teknologi komunikasi dan arus globalisasi ini telah mempengaruhi sistem komunikasi global. Jika satu ketika dahulu isu limpahan siaran melalui Direct Broadcasting Services, aliran berita antara negara yang tidak seimbang dan order baru maklumat dunia menjadi isu hangat dibincangkan dalam arena komunikasi, isu-isu ini kini tidak lagi begitu diperdebatkan. Sebaliknya isu-isu komunikasi tanpa sempadan, masyarakat bermaklumat dan masyarakat berpengetahuan menjadi isu-isu baru yang memenuhi ruang perbincangan di peringkat antarabangsa. Dunia abad ke 21 adalah satu dunia baru. Dunia sekarang ini bukan lagi terkenal kerana ideologi politiknya tetapi kepada kuasa ekonominya. Kuasa besar ekonomi dunia dengan sistem kapitalisnya ingin mewujudkan satu dunia global dengan pasaran global.

Kemajuan dalam bidang komunikasi ini juga telah memberikan pengaruh yang besar kepada keadaan sosial, pentadbiran, perubatan, hubungan antarabangsa, pengangkutan dan sebagainya tidak terkecuali bidang pendidikan yang menjadi teras kepada perubahan dunia abad ke 21 ini. Kesan globalisasi terhadap sektor pendidikan sangat ketara di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Australia, New Zealand, Jerman dan Russia. Ini dapat dilihat dengan pertambahan pelajar luar negara yang belajar di institut pengajian tinggi negara-negara tersebut. Demikian juga di Malaysia, Pendidikan Tertiari menunjukkan fenomena yang sama di mana pada setiap tahun universiti-universiti tempatan di negara kita menerima pelajar-pelajar luar dari seberang laut semakin meningkat.

Dalam keghairahan dunia abad ke-21 menikmati kemajuan Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi, bidang pendidikan khususnya di negara kita terus berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran yang perlu dilihat dengan rasa tanggungjawab oleh semua pihak. Sekiranya isu-isu dan cabaran ini tidak ditangani dengan baik dan betul, kemajuan yag dicapai bukan saja tidak akan mendatangkan sebarang faedah, bahkan akan menimbukan berbagai-bagai isu kemanusiaan sejagat. Terdapat berbagai-bagai isu dan cabaran pendidikan di Malaysia yang timbul akibat kesan globasisasi dan transformasi sama ada isu dan cabaran ini wujud disebabkan oleh hasrat kerajaan itu sendiri ataupun kesan daripada kemajuan Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi dunia. Isu dan cabaran antaranya iaitu Pendidikan Bertaraf Dunia, Pembestarian Sekolah, Pendidikan K-Ekonomi dan Gejala sosial yang diakibatkan oleh ledakan maklumat dan globalisasi.

Cabaran negara pada waktu ini adalah untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi bagi menghadapi persaingan dengan negara lain. Ini menuntut negara Malaysia membangunkan sumber tenaga manusia yang berketerampilan tinggi dalam pelbagai bidang dan berdaya saing. Oleh itu, pendidikan abad ke 21 di Malaysia telah memberi perubahan yang menarik terhadap sekolah, guru, pelajar dan kurikulum. Sekolah-sekolah dalam abad ke-21 akan ditambah dengan kurikulum berasaskan projek untuk kehidupan bertujuan melibatkan pelajar dalam menangani masalah dunia sebenar, isu-isu yang penting kepada manusia, dan persoalan yang perlu dijawab. 

No comments:

Post a Comment